Skip to main content

Malaysia

Kes tembak Klang: Pembonceng cedera dirempuh pacuan empat roda disahkan maut - Polis

KUALA LUMPUR, 29 Jan -- Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika sidang media berkenaan Op Palu sempena Hari Thaipusam di Batu Caves hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shazeli berkata semakan mendapati pemandu pacuan empat roda iaitu lelaki tempatan berusia 49 tahun mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan Sekyen 307 Kanun Keseksaan. - Gambar fail/Bernama

SHAH ALAM: Seorang daripada dua lelaki bermotosikal yang cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda selepas melepaskan tembakan di Taman Seri Kapar, Klang pagi tadi telah meninggal dunia.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata lelaki berkenaan yang juga pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila kedua-dua lelaki itu melepaskan tembakan ke arah pekerja pemandu kenderaan pacuan empat roda itu di Kampung Perepat, Kapar.

“Suspek (pemandu pacuan empat roda) kemudian bertindak mengejar motosikal berkenaan hingga ke Jalan Keretapi Lama. 

“Apabila seorang daripada lelaki terbabit mengacukan objek menyerupai pistol, suspek kemudian bertindak melanggar motosikal itu sehingga mengakibatkan kedua-duanya terjatuh lalu terseret masuk ke Taman Sri Kapar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.  

Shazeli berkata semakan mendapati pemandu pacuan empat roda iaitu lelaki tempatan berusia 49 tahun mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan Sekyen 307 Kanun Keseksaan.

“Si mati mempunyai 23 rekod lampau berkaitan pelbagai kes jenayah berat termasuk bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan. Mangsa yang cedera pula mempunyai 10 rekod jenayah serta berstatus orang dikendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda itu telah ditahan polis untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi 13 saat memaparkan seorang lelaki terbaring di jalan raya dipercayai berkaitan dengan kes tembak.

-- BERNAMA 

Must Watch Video