PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu mengesahkan proses keterangan melibatkan hampir tujuh jam dan selesai pada jam 4.30 petang tadi.
“Kalau ikut orang ambil peperiksaan SPM, lepas ini boleh tidur dengan yakin,” katanya ketika ditemui pemberita di luar ibu pejabat SPRM.
Ditanya sama ada wujud pertuduhan ataupun tidak, Rafizi memaklumkan beliau tidak mengetahui tentang tindakan tersebut.
Namun beliau menjangkakan pegawai penyiasat harus menunggu arahan selanjutnya berdasarkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam bahawa akan ada lagi saksi yang akan dipanggil berhubung kes ini.
“Saya ingat pegawai penyiasat mereka pun perlu menunggu arahan selanjutnya dari segi lama mana kertas siasatan dapat diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.
Bekas Menteri Ekonomi itu juga berkata proses siasatan menjurus kepada proses dan prosedur dalam membuat keputusan tanpa melibatkan elemen rasuah.
“Sejak hari pertama tumpuan seratus peratus ke arah itu (proses dan prosedur), memang tiada elemen wang atau songlap (rasuah),” katanya.
Pada masa sama, Rafizi turut menyatakan penghargaan kepada pasukan penyiasat SPRM yang disifatkannya profesional sepanjang mengendalikan proses mengambil keterangan sejak Isnin lalu.
“Keseluruhan proses hingga hari ini berjalan dengan baik. Seterusnya perkara itu saya serahkan kepada SPRM atau pihak-pihak berkuasa yang lain,” katanya lagi.
Untuk rekod, Rafizi dilaporkan telah hadir ke SPRM bagi membantu siasatan berhubung perjanjian pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings plc.