KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan tuntutan saman RM1.8 juta susulan dakwaan insiden keracunan makanan melibatkan ratusan peserta semasa acara hari keluarga di taman tema itu tahun lalu.
Memetik laporan New Straits Times (NST), saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Januari lalu, dengan MCMC mendakwa berlaku pelanggaran kontrak dan kecuaian berkaitan penyediaan makanan semasa acara berkenaan.
Menurut pernyataan tuntutan MCMC, Sunway Lagoon telah dilantik bagi menganjurkan acara hari keluarga yang berlangsung pada 4 Oktober dan dihadiri lebih 5,800 tetamu, termasuk kakitangan MCMC, ahli keluarga mereka serta wakil Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures.
NST melaporkan, makanan dari luar tidak dibenarkan dibawa masuk pada hari kejadian, dan semua hidangan makan tengah hari disediakan oleh pihak pengendali taman tema berkenaan.
Bagaimanapun, semasa acara berlangsung, seorang kakitangan MCMC dilaporkan telah memaklumkan kepada wakil Sunway Lagoon bahawa salah satu hidangan berbau kurang enak dan berasa masam, namun dakwaan itu tidak diambil tindakan sewajarnya.
Dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas acara, MCMC menerima laporan daripada peserta termasuk kanak-kanak yang mengalami simptom seperti cirit-birit akut, muntah, sakit perut dan demam, dengan lebih 870 individu dilaporkan terjejas, memetik laporan NST.
Susulan kejadian itu, MCMC membuat laporan polis dan turut memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, yang kemudian mengarahkan penutupan bahagian makanan dan minuman Sunway Lagoon selama 14 hari bermula 7 Oktober bagi tujuan pembersihan dan pembasmian kuman.
Dalam saman tersebut, MCMC menuntut pemulangan penuh bayaran sebanyak RM1.82 juta, kos perubatan, ganti rugi serta pampasan lain, termasuk dakwaan gangguan operasi dan kerosakan reputasi susulan insiden berkenaan.
Kes itu dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 April ini, dengan tumpuan kini tertumpu kepada penentuan liabiliti serta standard keselamatan makanan dalam acara berskala besar yang melibatkan orang awam.