KOTA BHARU: Polis menafikan dakwaan bahawa tiada tindakan diambil berhubung satu hantaran tular dalam media sosial mengenai kejadian seorang lelaki dipukul beramai-ramai di Wakaf Bharu.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata susulan kejadian itu, seorang suspek lelaki berumur 36 tahun akan didakwa di Mahkamah Tumpat pada 19 April ini.
Beliau menjelaskan bahawa pertuduhan ke atas lelaki berkenaan akan dibuat di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada 1 April lepas, pada 12.45 pagi dan kes berkenaan turut diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham keluarga yang membawa kepada pergaduhan melibatkan kedua-dua pihak, dan masing-masing mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mohd Khairi berkata 11 individu yang berumur antara 18 hingga 67 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Kesemua individu berkenaan kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa polis telah mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Siasatan telah dijalankan secara telus, profesional dan menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atau tidak disahkan oleh pihak berkuasa.
-- BERNAMA