Skip to main content

Malaysia

JIM Selangor gempur pusat urut, 11 PATI ditahan

BERNAMA
Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta menggunakan pas atau kad yang tidak diiktiraf. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menggempur beberapa pusat urut di sekitar Bukit Rimau, Seksyen 32, di sini menerusi Op Gegar yang dilaksanakan malam tadi.

Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata operasi bermula kira-kira 8 malam itu melibatkan 37 pegawai dan anggota penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan terhadap premis dipercayai menawarkan perkhidmatan tidak sah.

“Operasi ini berjaya menahan 11 wanita pendatang asing tanpa izin berusia antara 18 hingga 47 tahun.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati mereka terdiri masing-masing empat warga Thailand dan Myanmar, dua China dan satu Vietnam yang dipercayai bekerja tanpa dokumen sah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta menggunakan pas atau kad yang tidak diiktiraf.

Khairrul Aminus berkata kesemua kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

“Kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tujuan tahanan reman dan siasatan lanjut," katanya, menambah operasi penguatkuasaan akan dipergiatkan bagi membanteras kegiatan PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video