Skip to main content

Malaysia

Kes curi kabel: Tempoh tiga hari pulihkan perkhidmatan rel Stesen Damansara Damai, Laluan Putrajaya - Rapid Rail

kes curi kabel, perkhidmatan tergendala, syarikat pengendali rel
Kejadian kecurian kabel yang dikesan berhampiran Stesen Damansara Damai, pada awal pagi Selasa. - Sumber foto Rapid Rail

PETALING JAYA: Perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd bagi Laluan Putrajaya dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai, pada awal pagi Selasa.

Syarikat pengendali rel itu memaklumkan kerja baik pulih bekalan kuasa sedang giat dijalankan bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat dan stabil.

"Kejadian kecurian kabel itu menyebabkan gangguan perkhidmatan yang memerlukan kerja pembaikan menyeluruh sebelum operasi dapat disambung sepenuhnya," kata Rapid KL menerusi satu kenyataan, pada Selasa.

Sepanjang tempoh gangguan, tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. 

"Penumpang disarankan menggunakan laluan rel alternatif bagi mengurangkan kesesakan di stesen terjejas.

"Orang ramai diminta supaya mematuhi arahan petugas di stesen demi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan bersama.

"Maklumat terkini berhubung status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE," tambah Prasarana.  

Must Watch Video