PUTRAJAYA: Kerajaan melihat krisis global semasa sebagai pemangkin untuk memperkukuh struktur ekonomi negara, termasuk memberi penekanan kepada ekonomi bernilai tinggi, peralihan tenaga dan pendekatan lebih menyeluruh dalam penyaluran bantuan rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, berbeza dengan pandemik COVID-19 yang memerlukan rangsangan perbelanjaan susulan penutupan aktiviti ekonomi, krisis pada masa kini bermula daripada tekanan bekalan minyak sebelum merebak kepada sektor lain dan memberi kesan ekonomi lebih kompleks.
"Ketika itu (pandemik COVID-19), keperluannya adalah memastikan perbelanjaan berlaku kerana kegiatan ekonomi ditutup. Ketika ini, krisis yang kita hadapi bermula dengan tekanan dari segi bekalan minyak, kemudian berjangkit kepada bekalan-bekalan lain.
"Krisis ini bermula dengan import dan sebagainya, tetapi kesannya lebih menyengat dari segi impak ekonomi," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui perubahan struktur yang lebih mampan.
"Kalau dahulu lebih kepada isu insentif, salur sana sini semua insentif. Tetapi menguruskan keadaan sekarang adalah dengan memperkukuh daya tahan kita," katanya.
Akmal Nasrullah berkata, krisis geopolitik semasa turut memberi isyarat jelas bahawa penumpuan kepada ekonomi bernilai tinggi perlu menjadi keutamaan, termasuk pembangunan sektor semikonduktor dan pengemasan yang canggih.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan rakyat menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN), yang setakat ini melibatkan 1,125 mesin layan diri di seluruh negara.
"Daripada jumlah tersebut, lebih separuh atau 58 peratus telah berupaya memperoleh pendapatan purata melebihi RM2,000," katanya sambil menambah rekod jualan terkumpul peserta program itu mencecah lebih RM20 juta.
Beliau berkata, kerjasama bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu juga akan diperluas dengan penempatan kira-kira 50 mesin berkenaan, termasuk di masjid, surau aktif dan institusi pendidikan.
Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan melaksanakan penggunaan biodiesel bermula 1 Jun bagi membantu memanjangkan tempoh bekalan diesel sehingga 20 hari setahun, selain menyokong agenda peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon.
-- BERNAMA