Skip to main content

Malaysia

Kerjasama erat antara jabatan kunci kecemerlangan MAIPs - Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025, di Padang Besar, pada Selasa. - Foto MAIPs
Raja Muda Perlis dan Lailatul Shahreen berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025, di Padang Besar, pada Selasa. - Foto MAIPs

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jalinan kerjasama erat, sikap saling menyokong serta melengkapi antara jabatan menjadi kekuatan utama yang membolehkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus melaksanakan amanah kepada ummah dengan berkesan dan cemerlang.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, budaya saling menghargai, hormat-menghormati serta semangat kekitaan perlu terus diperkukuhkan dalam setiap organisasi.

Menurut baginda, sesebuah institusi bukan sahaja dinilai menerusi pencapaian semata-mata, sebaliknya turut diukur melalui kesatuan hati dan keutuhan warganya dalam mendepani cabaran secara bersama.

“Teruskanlah usaha dan komitmen dalam mengekalkan momentum kecemerlangan, dengan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti, produktif dan progresif,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025, di sini, pada Selasa.

Turut berangkat, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis itu disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis turut menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang sentiasa berdiri teguh bersama MAIPs sama ada ketika menghadapi cabaran mahupun meraikan kejayaan.

Baginda berharap setiap bentuk pengiktirafan yang diberikan mampu menjadi pemangkin inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, selain memartabatkan institusi ke tahap lebih gemilang.

Majlis apresiasi itu merupakan program tahunan anjuran MAIPs bagi menghargai kecemerlangan dan komitmen warga kerja di bawah seliaannya termasuk agensi-agensi rakan strategik.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Terpilih kepada penerima lelaki daripada Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis serta Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis.

Manakala penyampaian anugerah kepada penerima wanita disempurnakan oleh Lailatul Shahreen.

Majlis itu mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam mengiktiraf kecemerlangan, memperkukuh kerjasama strategik serta memperkasa perkhidmatan berteraskan nilai Islam demi kesejahteraan ummah.
(Foto: MAIPs)

Must Watch Video