IPOH: Kementerian Kewangan sedang meneliti langkah sewajarnya bagi mengekalkan harga minyak pada kadar sedia ada meskipun berdepan cabaran lonjakan harga minyak mentah dunia yang kini telah melepasi paras USD100 setong.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata situasi ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat di Asia Barat ketika ini dijangka memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan minyak global serta memberi tekanan terhadap kestabilan ekonomi di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
"Kerajaan pada hari ini masih lagi meneliti dan mengikuti dengan rapat perkembangan itu dari semasa ke semasa, memastikan segala perancangan yang melibatkan ekonomi dapat kita tangani dan hadapi dengan keadaan yang lebih bersedia.
“Setakat ini, keadaannya masih lagi baik tetapi kita jangka akan ada beberapa langkah penting yang perlu diambil oleh kerajaan untuk memastikan setidak-tidaknya keadaan ekonomi tempatan ini dapat berada dalam keadaan yang terkawal,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal Di Bawah Inisiatif Sejahtera MADANI di Dewan Komuniti Sungai Tapah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana kerajaan menangani subsidi dan sebagainya, kesan daripada konflik bersenjata yang sedang berlaku di Asia Barat.
Muhammad Kamil berkata tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan bekalan keperluan asas rakyat seperti daging, ayam, beras dan gula tidak terjejas teruk akibat penutupan laluan udara atau laut di Timur Tengah.
Ditanya langkah atau usaha preventif yang mungkin dilakukan kerajaan bagi mengelakkan harga barangan naik jika harga minyak naik, beliau berkata perkara itu sedang diteliti oleh pihak Kementerian Kewangan untuk melihat bagaimana kerajaan boleh mengekalkan harga minyak pada kadar yang ada ketika ini.
“Saya fikir mungkin kalau harganya itu melonjak dengan tinggi di luar kawalan kita, maka kita terpaksa berhadapan dengan realiti. Apa pun sekarang yang sedang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini ialah cuba memastikan harga itu masih lagi dapat dikawal dengan baik,” katanya.
-- BERNAMA