Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pantau situasi, pelajar Malaysia di Asia Barat selamat - Zambry

BACHOK, 2 Mar -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika melawat dapur siswa pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan @ Universiti Malaysia Kelantan 2026 hari ini._BERNAMA
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihak kementerian dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan setakat ini tiada pelajar dilaporkan terjejas. - Foto BERNAMA

BACHOK: Kesemua 1,936 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di rantau Asia Barat dilaporkan selamat berikutan beberapa negara terjejas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihak kementerian dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan setakat ini tiada pelajar dilaporkan terjejas.

Beliau berkata berdasarkan rekod pendaftaran semasa, majoriti pelajar berada di Jordan, iaitu 1,762 orang, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (sembilan), Iran (enam) dan Qatar (tiga).

"Sehingga kini, kita tidak mendapat sebarang laporan mengenai keadaan yang membimbangkan dan setakat ini juga, belum ada sebarang permintaan daripada pelajar untuk dibawa pulang ke tanah air.

"Pihak Education Malaysia (EM) yang berpusat di Dubai dan Jordan sentiasa memantau seluruh negara-negara Arab ini dan melaporkan status keberadaan pelajar kita dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok petang ini.

Bagaimanapun, Zambry menggesa mana-mana pelajar Malaysia di negara Arab yang melanjutkan pengajian secara persendirian, dan belum mendaftar dengan pihak kedutaan atau EM supaya tampil berbuat demikian dengan segera.

Beliau berkata langkah itu disifatkan amat penting bagi memudahkan pihak kerajaan menyusun pelan tindakan menyelamat sekiranya keadaan bertambah kritikal.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found