KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang meneruskan inisiatif khas bagi membantu rakyat negeri itu yang bekerja atau menetap di luar Pahang menyambut Aidilfitri di kampung halaman dengan pemberian Baucar Raya bernilai RM100.
Tawaran itu dibuka kepada 10,000 pemohon terawal yang memenuhi syarat ditetapkan, sebagai usaha menyemarakkan sambutan hari raya di samping mengukuhkan semula ikatan kekeluargaan.
Menurut syarat permohonan, baucar tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas, bergelar “Anak Pahang” yang bekerja atau menetap di luar negeri Pahang dan merancang balik beraya ke Pahang pada musim perayaan ini.
Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan Google Forms yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR yang tersenarai dalam kempen tersebut.
Tarikh tutup permohonan ditetapkan 5 Mac 2026, dan hanya 10,000 individu pertama yang berjaya mendaftar layak menerima baucar itu.
Inisiatif itu dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi kerajaan negeri dengan kapsyen “Anak Pahang di perantauan, moh balik raya!” serta dorongan kepada penduduk negeri itu untuk memohon secepat mungkin.
Kempen tahunan “Baucar Raya RM100” ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menyokong mobiliti sosial dan kebajikan rakyat Pahang, terutamanya golongan muda yang merantau mencari rezeki di luar negeri.
Orang ramai yang layak digalakkan membuat permohonan lebih awal kerana tawaran adalah terhad.