Skip to main content

Malaysia

Kerajaan MADANI tingkat peruntukan Kelantan kepada RM8 bilion - PM Anwar

KOTA BHARU, 18 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Mini Konvensyen KEADILAN Kelantan 2026 hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan untuk negeri Kelantan daripada RM3.19 bilion kepada RM8 bilion.

Beliau berkata peningkatan peruntukan itu seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam membela nasib rakyat di negeri itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan tambahan peruntukan khas sebanyak RM20 juta, khusus untuk membantu golongan miskin tegar di Kelantan yang akan diselaras dan diurus sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

"Masalah ini (kemiskinan) telah menjadi masalah negara, bukan sahaja masalah di negeri Kelantan," kata beliau ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di Kota Bharu, di sini.

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3.19 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan di Kelantan pada tahun lepas, iaitu hampir dua kali ganda berbanding RM1.55 bilion pada 2022.

Menyentuh tentang tadbir urus negara, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal dengan pendirian tegas untuk tidak mengizinkan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan harta negara berlaku.

"Hasil daripada ketegasan kerajaan memerangi rasuah dan mengelakkan ketirisan dalam pengurusan kewangan, negara telah berjaya menyelamatkan dana sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

"Kita tidak izinkan orang mengambil harta negara untuk memperkaya diri mereka. Kalau ada bukti sesiapa sahaja tanpa kecuali (termasuk) dalam parti, di pejabat saya, sesiapa sahaja, kita tidak akan pertahankan," kata beliau.

Bagi memperkasakan peluang pekerjaan untuk golongan muda, Anwar berkata beliau telah mempengerusikan mesyuarat bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi merangka langkah tambahan untuk mencipta peluang pekerjaan kepada lepasan kolej, universiti dan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan industri batik di negeri ini yang disifatkan paling maju susulan dasar kerajaan mewajibkan pemakaian batik kepada lebih sejuta penjawat awam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video