Skip to main content

Malaysia

Aplikasi Info Jualan Rahmah MADANI mudahkan rakyat- Fuziah

JOHOR BAHRU, 4 April -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi yang diperkasa melalui aplikasi digital eCOSS di sebuah pasar raya di Johor Bahru, hari ini._BERNAMA
Fuziah berkata aplikasi berkenaan membolehkan pengguna menyemak lokasi, tarikh pelaksanaan serta butiran program secara masa nyata, sekali gus membantu mereka merancang perbelanjaan harian dengan lebih bijak. - Gambar fail

KOTA BHARU: Aplikasi Info Jualan Rahmah MADANI yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan pelaksanaan program berkenaan secara lebih cepat dan tepat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh berkata aplikasi berkenaan membolehkan pengguna menyemak lokasi, tarikh pelaksanaan serta butiran program secara masa nyata, sekali gus membantu mereka merancang perbelanjaan harian dengan lebih bijak.

Beliau berkata sebelum ini pihak kementerian sering menerima pertanyaan mengenai lokasi dan jadual Jualan RAHMAH, namun kewujudan aplikasi itu dijangka dapat mengatasi kekangan itu.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui telefon pintar dan diharap dapat memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dengan lebih pantas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di Dewan Serbaguna PPR Kota Bharu di sini hari ini.

Pada program sama, sebanyak 50 individu dari kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Lama, Parlimen Kota Bharu turut menerima Sumbangan Bakul Rahmah.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata sebanyak 7,320 siri Program Jualan Rahmah MADANI telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Jan hingga 31 Mac lepas, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata di Kelantan sahaja, sebanyak 496 siri program telah diadakan dengan 386,888 transaksi pembelian direkodkan.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada golongan tercicir,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh serta memperluas pelaksanaan program itu secara lebih strategik dan bersasar, dengan mengambil kira cabaran ekonomi global termasuk peningkatan kos logistik dan tekanan rantaian bekalan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video