Skip to main content

Malaysia

Kerajaan digesa percapat pelaksanaan Akta Pendanaan Politik

MCW, Jais Abdul Karim. Kredit: MCW
Jais berkata, undang-undang berkaitan pendanaan politik perlu disegerakan memandangkan banyak negara lain telah melaksanakannya dengan hasil positif. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepat pewartaan dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bagi memperkukuh integriti serta menangani rasuah yang semakin kompleks.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, langkah itu penting memandangkan isu rasuah kini bukan lagi bersifat konvensional, sebaliknya semakin sukar dikesan berikutan perkembangan teknologi dan dunia digital.

"Rasuah kini semakin kompleks, saya boleh katakan ia ibarat kanser tahap empat. Kalau dalam bidang perubatan cakap ia tiada harapan, namun saya tetap menaruh harapan supaya masalah ini dapat ditangani antaranya menerusi pelaksanaan akta ini," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk “Undang-Undang Baharu: Benteng Integriti Negara” terbitan Bernama TV pada malam Rabu

Turut menjadi tetamu program itu ialah Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Young Syefura Othman.

Jais berkata, undang-undang berkaitan pendanaan politik perlu disegerakan memandangkan banyak negara lain telah melaksanakannya dengan hasil positif.

Beliau berkata, pelaksanaan akta itu juga wajar dipercepat kerana merupakan sebahagian daripada manifesto kerajaan.

“Ini adalah manifesto kerajaan, maka inilah masanya untuk dilaksanakan,” katanya sambil menggesa Ahli Parlimen menyokong usaha berkenaan demi kepentingan rakyat dan negara.

Sementara itu, Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, kerajaan komited mewujudkan undang-undang baharu berkaitan rasuah dan integriti selaras dengan agenda reformasi institusi.

"Saya juga percaya, akan ada penggiliran rang undang-undang berkaitan pendanaan politik ini (dibentangkan) di Parlimen nanti," katanya.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyuarakan hasrat agar UMNO menjadi pelopor dalam memastikan akta itu diwujudkan bagi melindungi parti serta demokrasi di Malaysia.

Menerusi akta katanya, setiap sumbangan kewangan kepada parti akan direkodkan secara jelas, didedahkan secara telus serta identiti penderma dapat dikenal pasti sekali gus mengelakkan sebarang fitnah dan tohmahan.

-- BERNAMA

Must Watch Video