PELABUHAN KLANG: Kerajaan akan melaksanakan satu program khas kepada pesara dan veteran tentera bagi mendapatkan lesen kelas E untuk memandu kenderaan berat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif baharu itu dianggap keperluan dalam menampung kekurangan pemandu kenderaan berat dalam industri haulier dan logistik.
Malah, beliau berkata, kebanyakan pesara tentera berusia lingkungan 40-an masih bertenaga untuk memandu jentera termasuk trak.
“Untuk itu, kita (kerajaan) akan membuat padanan bagi pesara yang mahir memandu itu dan memiliki lesen (memandu kenderaan berat) tentera untuk tukar terus kepada lesen kelas E.
“Menerusi mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara baru-baru ini, kita bersetuju untuk memberikan lesen (program khas) kepada mereka,” katanya dalam ucapan perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan Sambutan Tahun Baharu Cina serta Iftar Ramadan, di sini, pada Isnin.
Sehubungan dengan itu, Loke berkata, semua syarikat logistik diseru bekerjasama menyediakan peluang pekerjaan kepada pesara berkenaan kelak.
"Saya yakin banyak syarikat akan berminat kerana bekas tentera sudah tentu berdisiplin, tahan lasak dan boleh memandu.
"Kita mahu inisiatif ini dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dalam kadar segera, malah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah ada program dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat)," katanya.
-- BERNAMA