KUCHING: Keluasan dan cabaran geografi di kawasan luar bandar Sarawak menyebabkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) menjadi mod pengangkutan yang penting, dengan subsidi diesel menjadi talian hayat buat komuniti di pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau berkata penduduk di kawasannya yang terletak di bahagian utara Sarawak, bergantung pada kenderaan 4WD berikutan keadaan jalan raya yang kurang baik di lokasi itu.
Beliau berkata memiliki kenderaan sedemikian seharusnya tidak dianggap sebagai satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan.
"Kereta sedan atau kenderaan kecil seperti Perodua Kancil atau Myvi memang tidak boleh digunakan di sini. Kami memerlukan kenderaan 4WD kerana jalan raya melibatkan laluan balak dan berlumpur, situasi itu akan lebih buruk sekiranya hujan turun.
"Sehubungan dengan itu, kami menghargai keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga subsidi diesel sebanyak RM2.15 seliter kerana kami begitu memerlukannya dan tiada pilihan lain," katanya kepada Bernama.
Pada 26 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati harga subsidi diesel, iaitu RM2.15 seliter walaupun harga global meningkat.
Anwar berkata kerajaan mengehadkan pengisian maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian bagi setiap pembelian; kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan (100 liter); dan kenderaan melebihi tiga tan (150 liter).
Dennis berkata kawasan Telang Usan meliputi kira-kira 9,000 kilometer (km) persegi serta menempatkan 88 rumah panjang dan kampung yang didiami komuniti Kayan, Kenyah dan Penan, selain pekan Long Lama yang kebanyakan penduduknya berkaum Cina.
Beliau berkata kawasan itu mempunyai kira-kira 1,000 km jalan tanah atau laluan balak yang pada asalnya dibina oleh syarikat pembalakan untuk menghubungkan kampung-kampung di lokasi tersebut.
"Daripada 1,000 km laluan balak, kami berjaya membina kira-kira 200 km jalan konkrit, masih berbaki 800 km lagi. Melihat kepada cabaran geografi, langkah ini mengambil masa yang lama.
"Kawasan ini boleh dianggap sebagai 'sempadan terakhir' kerana masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur jalan raya. Selain itu, kedudukan 88 rumah panjang berselerak, tidak terletak di sepanjang jalan kerana petempatan dahulu dibina di sepanjang sungai," katanya.
Sementara itu, Dennis berkata walaupun memahami kebimbangan kerajaan terhadap kebocoran diesel dan penyeludupan rentas sempadan, had semasa sebanyak 50 liter untuk setiap pengisian bagi kenderaan ringan perlu disemak semula.
Beliau berkata 50 liter hanya mencukupi untuk perjalanan sehala ke lokasi tertentu, namun berisiko bagi mereka yang melakukan perjalanan ke kawasan luar bandar atau pedalaman yang tidak mempunyai stesen minyak berdekatan.
"Lazimnya, kami perlu mengisi tangki penuh kira-kira 75 liter dan membawa bahan api tambahan di dalam bekas sebagai simpanan kerana tiada stesen minyak di kawasan luar bandar. Hal ini berbeza dengan kawasan bandar seperti Miri yang mempunyai banyak stesen minyak.
"Oleh itu, kami berharap kerajaan boleh mempertimbangkan semula had 50 liter itu dan sekurang-kurangnya membenarkan pengisian tangki penuh, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Telang Usan dan Belaga," katanya.
-- BERNAMA