Skip to main content

Malaysia

Kenaikan harga diesel beri tekanan kepada industri bas persiaran - MATA

71724844594_diesel.jpg
Industri bas persiaran bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel, khususnya bagi perjalanan jarak jauh melibatkan pelancong domestik dan antarabangsa, rombongan sekolah, sektor korporat serta penganjuran acara berskala besar. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter disifatkan memberi tekanan kritikal kepada industri bas persiaran dan berpotensi menjejaskan momentum persiapan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa peningkatan mendadak kos bahan api itu memberi kesan langsung kepada kos operasi pengusaha bas persiaran, yang masih berada dalam fasa pemulihan pascapandemik.

Presidennya, Mohd Khalid Harun berkata industri bas persiaran bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel, khususnya bagi perjalanan jarak jauh melibatkan pelancong domestik dan antarabangsa, rombongan sekolah, sektor korporat serta penganjuran acara berskala besar.

“Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter memberi tekanan yang sangat serius kepada pengusaha bas persiaran kerana ia secara langsung meningkatkan kos setiap perjalanan dan menjejaskan kestabilan operasi syarikat,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan tempahan bas dibuat lebih awal dengan kadar harga yang telah dipersetujui, menyebabkan pengusaha tidak mempunyai ruang untuk menyesuaikan harga apabila berlaku kenaikan kos secara mendadak.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil dan dalam sesetengah kes hampir tiada langsung, sekali gus menjejaskan aliran tunai syarikat.

Selain kos bahan api, pengusaha bas persiaran turut menanggung pelbagai kos operasi lain termasuk penyelenggaraan kenderaan, gaji pemandu, bayaran tol, permit serta perlindungan insurans, yang secara keseluruhan turut meningkat susulan kenaikan harga diesel.

Mohd Khalid berkata sekiranya situasi itu berterusan, pengusaha bas persiaran mungkin terpaksa menaikkan harga sewaan bagi menampung peningkatan kos operasi, yang boleh memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan, rombongan sekolah, sektor korporat dan penganjur acara.

Mengulas lanjut beliau berkata, peningkatan kos pengangkutan pelancongan berpotensi memberi tekanan kepada usaha negara memperkukuh industri pelancongan pada TMM 2026.

“Malaysia sedang giat mempromosikan TMM bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa. Namun, sekiranya kos pengangkutan pelancongan terus meningkat, ia boleh menjejaskan daya saing pakej pelancongan negara,” katanya.

Sehubungan itu, MATA berharap kerajaan dapat meneliti langkah bersesuaian bagi membantu pengusaha pengangkutan pelancongan menangani peningkatan kos operasi, termasuk mempertimbangkan mekanisme sokongan bagi memastikan kelangsungan industri dan kestabilan sektor pelancongan negara.

 

 

 

Must Watch Video