PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia akan melancarkan Kempen Jom Baca 10 Minit pada 23 April ini sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu bertujuan menghidupkan amalan membaca harian dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata walaupun hanya 10 minit sehari diperuntukkan untuk membaca, amalan kecil itu mampu memberikan impak besar dalam membentuk masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing.
"Budaya membaca perlu dijadikan gaya hidup rakyat Malaysia. Dengan hanya 10 minit sehari, kita mampu menyemai nilai ilmu yang akan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat MADANI dan negara yang lebih maju," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Aaron berkata kempen tahun ini mengangkat tema "Membaca Membina Bangsa" selari dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memperkukuh pembinaan negara bangsa melalui pembudayaan ilmu dan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Seiring dengan misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembaca menjelang 2030, kementerian akan terus mempergiat dan melipatgandakan pelaksanaan program-program galakan membaca secara inklusif dan berterusan," katanya.
Justeru, beliau berkata kementerian menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang, iaitu penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi, golongan belia, sektor swasta dan korporat untuk bersama-sama menyertai kempen berkenaan.
-- BERNAMA