Skip to main content

Malaysia

Kementerian Pendidikan Tinggi pantau harga makanan di IPTA, IPTS kawal harga - Zambry

Zambry Abd Kadir
Zambry berkata perkara itu turut disuarakan dalam pertemuan beliau bersama beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baru-baru ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau rapat kafeteria di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) berikutan kebimbangan berlakunya kenaikan harga makanan dan minuman.

Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perkara itu turut disuarakan dalam pertemuan beliau bersama beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) baru-baru ini.

"Di peringkat universiti awam, kita sentiasa memantau dan juga ia dibuat berdasarkan pemerhatian oleh peringkat Naib Canselor mereka.

"Di peringkat universiti swasta pula kita telah memaklumkan kepada mereka supaya mengambil kira keadaan semasa agar tidak menaikkan harga (di kafeteria)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pencapaian dan Hala Tuju Celik MADANI di Menara Merdeka 118, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman.

Mengulas lanjut, Zambry berkata kerajaan juga akan memperkenalkan Menu Kasih Siswa di IPTA dalam masa terdekat bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, beliau berkata Program Celik Kewangan Belia MADANI (Celik MADANI) yang dilaksanakan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mencatatkan perkembangan positif, dengan merekodkan lebih 200,000 penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun lepas.

Program tersebut yang menyasarkan penyertaan kumulatif seramai 1 juta pelajar menjelang 2030, selaras dengan usaha berterusan ASNB untuk memperkasakan literasi kewangan dan membentuk belia Malaysia sebagai generasi labur yang berdaya tahan demi masa depan yang lebih cerah.

"Setakat ini sudah ada 200,000, dan saya yakin menjelang tahun 2030 nanti jumlah sasaran seramai 1 juta penyertaan pelajar itu akan tercapai," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video