Skip to main content

Malaysia

Sindiket pusat panggilan pelaburan tidak wujud tumpas, 13 warga China ditahan

71719227691_handcuff.jpg
Kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula 9 hingga 14 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan

IPOH: Polis menahan 13 warga asing yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Sitiawan dan Lumut, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita warga China berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan dalam operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis tersebut dijadikan pusat panggilan yang menyasarkan mangsa dari Amerika Syarikat dan Eropah dengan menawarkan pelaburan tidak wujud melalui sebuah laman sesawang.

"Sindiket ini menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp sebagai medium untuk mencari serta memperdaya mangsa.

"Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 44 unit telefon bimbit, 11 unit komputer riba, dua buah kenderaan, dua modem Wi-Fi serta satu kad akses premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata kesemua suspek kini direman selama enam hari bermula 9 hingga 14 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Pihaknya turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan di media sosial dan membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum menyertai mana-mana skim.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video