Skip to main content

Malaysia

Pelantikan pegawai kanan dilaksana secara profesional, berdasarkan merit - ATM

41738906276_mindef.jpg
ATM memaklumkan proses penilaian turut mengambil kira rekod kepimpinan, integriti, pengalaman operasi, kompetensi, kelayakan profesional, kesesuaian jawatan serta keperluan perkhidmatan semasa.

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan setiap pelantikan pegawai kanan dilaksanakan secara profesional, berteraskan meritokrasi serta mengambil kira keperluan strategik organisasi secara menyeluruh.

ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses penilaian turut mengambil kira rekod kepimpinan, integriti, pengalaman operasi, kompetensi, kelayakan profesional, kesesuaian jawatan serta keperluan perkhidmatan semasa.

Bagi jawatan tertentu yang bersifat kritikal dan strategik, faktor Subject Matter Expert (SME) turut menjadi pertimbangan utama termasuk pengalaman penugasan bersama antara perkhidmatan, pendedahan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa serta keupayaan mengurus kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

“Sehubungan itu, pelantikan pegawai kanan ATM tidak dinilai semata-mata berdasarkan kor, cabang atau perkhidmatan asal seseorang pegawai kanan.

“Pembentukan kepimpinan kanan dalam ATM merupakan hasil daripada kombinasi pengalaman pemerintahan, operasi, kursus profesional ketenteraan, pengurusan strategik, penugasan bersama serta pendedahan antarabangsa yang secara kolektif menjadi asas utama dalam menentukan kesesuaian seseorang pegawai kanan untuk memegang jawatan strategik,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan adalah bagi menjawab pandangan yang disuarakan menerusi artikel bertajuk “Lantik pegawai kanan ATM ikut merit”, yang disiarkan sebuah akhbar tempatan Sabtu lepas.

Kenyataan itu juga memaklumkan, ATM percaya setiap pandangan yang dikemukakan adalah berlandaskan keprihatinan terhadap institusi pertahanan negara, dalam masa yang sama setiap keputusan pelantikan juga mengambil kira pelbagai pertimbangan strategik dan keperluan perkhidmatan yang tidak semuanya dapat dihuraikan secara terbuka atas faktor sensitiviti organisasi dan keselamatan.

Menurut ATM setiap keputusan pelantikan dilaksanakan melalui lunas perundangan, proses dalaman yang tersusun, teliti dan berlandaskan kepentingan institusi, kesinambungan pemerintahan serta keyakinan terhadap keupayaan dan kredibiliti pegawai kanan yang dipertimbangkan.

 “Kementerian Pertahanan dan ATM kekal komited memastikan setiap pelantikan pegawai kanan dilaksanakan secara profesional, telus dan berasaskan merit, integriti, kompetensi serta kepentingan strategik organisasi demi memperkukuh ATM sebagai institusi pertahanan negara yang berwibawa, profesional, dihormati serta terus diyakini rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video