IPOH: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 4 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar berhampiran Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata dalam kejadian kira-kira 6.42 petang itu, wanita berusia 19 tahun itu mengalami patah tulang rusuk kiri dan tulang pinggul kanan selain kecederaan di kepala, tengkuk serta luka di kaki.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan lima kereta dan sebuah motosikal. Berdasarkan maklumat awal, sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang wanita berusia 31 tahun bersama dua kanak-kanak masing-masing berusia lima dan tujuh tahun telah keluar dari bahu jalan.
“Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipandu oleh lelaki berumur 59 tahun dari arah hadapan dan melanggar bahagian hadapan kereta Viva sehingga kereta ini terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, kereta Satria itu turut melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR sehingga penunggangnya tercampak ke tengah jalan.
Mohamad Nazri berkata siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Satria yang datang dari arah bertentangan gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Viva yang keluar dari bahu jalan.
“Wanita dan dua kanak-kanak yang berada dalam Perodua Viva hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Proton Satria cedera di beberapa bahagian badan selain tiga lagi pemandu kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata hasil siasatan awal mendapati pemandu Proton Satria tidak menunjukkan sebarang tanda memandu dalam keadaan mabuk seperti dakwaan yang dalam media sosial.
“Hasil pemerhatian terhadap perlakuan dan nafas pemandu itu juga tidak berbau alkohol.
“Bagaimanapun, segala prosedur siasatan yang sewajarnya telah dijalankan seperti ujian air kencing dan pemeriksaan kandungan alkohol dalam darah tetap dijalankan ke atas pemandu itu, dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA