Skip to main content

Malaysia

Kebakaran gerai mercun: Polis teruskan siasatan, tunggu laporan JBPM 

gerai mercun
Awal pagi Ahad lepas, sebuah gerai menjual pelbagai jenis mercun di Taman Pekaka di Nibong Tebal, musnah dalam kebakaran. - Gambar fail

NIBONG TEBAL: Tiga individu termasuk seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran sebuah gerai jualan mercun dan bunga api di Taman Pekaka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata bagaimanapun siasatan masih diteruskan termasuk merakam beberapa lagi keterangan saksi sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Siasatan masih dijalankan dan polis masih perlu merakam keterangan dua hingga tiga lagi saksi serta menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum kertas siasatan dirujuk kepada DPP,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tiga individu itu direman tiga hari bermula 23 Mac lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kecuaian dalam pengendalian bahan letupan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata siasatan insiden itu dijangka siap dalam tempoh 14 hari.

Awal pagi Ahad lepas, sebuah gerai menjual pelbagai jenis mercun di Taman Pekaka di sini, musnah dalam kebakaran, yang turut memusnahkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan tiga unit penyaman udara di luar sebuah rumah berhampiran gerai itu.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video