PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuh pendekatan libat urus dengan industri penerbitan termasuk mengadakan perbincangan awal bersama penerbit sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap hasil penerbitan mereka.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah tersebut diputuskan susulan sesi libat urus antara KDN dan ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pada 21 April lepas bagi membincangkan isu serta perkembangan semasa industri penerbitan di negara ini.
Menurut KDN, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan bagi memastikan proses yang lebih telus dan konstruktif.
"Dalam masa yang sama, KDN akan meneliti serta menilai semula Perintah Larangan terhadap hasil penerbitan yang telah diwartakan, dengan mengambil kira pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan.
"KDN sentiasa menghormati dan mengalu-alukan kebebasan berkarya serta wacana ilmiah dan menghargai perkembangan kreativiti penulisan dalam negara," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, KDN menegaskan setiap penerbitan perlu mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, kementerian tersebut menyeru semua pihak agar memberikan ruang sewajarnya untuk ia mengurus dan menangani perkara berkaitan penerbitan secara seimbang antara kebebasan berkarya dan kepentingan keselamatan awam.
-- BERNAMA