KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh, di sini semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata mangsa, Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul ditemukan di pesisir pantai 10.26 malam tadi, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari berkaitan kejadian tiga kanak-kanak dilaporkan hilang ketika mandi di pantai tersebut sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan.
"Bagaimanapun dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan serta orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian dan operasi mencari seorang lagi mangsa diteruskan sehingga berjaya ditemukan malam tadi, sebelum disahkan meninggal dunia.
"Pelbagai agensi terlibat dalam operasi ini, iaitu polis, bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM). Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi di pantai atau menjalankan aktiviti air sekiranya cuaca buruk, ombak kuat atau arus deras," katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA