KUALA LUMPUR: Satu kajian menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi aktiviti pendakian dan trekking di seluruh negara perlu dilakukan susulan peningkatan jumlah insiden melibatkan pendaki, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kes melibatkan pendaki hilang, cedera atau maut sekali gus menonjolkan risiko berkaitan aktiviti pendakian khususnya di kawasan terpencil dan mencabar.
Menyifatkan rekreasi luar sebagai aktiviti sihat yang wajar digalakkan, Lee bagaimanapun berkata aspek keselamatan harus kekal sebagai keutamaan.
“Saya menggesa pihak berkuasa yang berkaitan agar menjalankan kajian menyeluruh terhadap SOP sedia ada termasuk menimbang langkah seperti mewajibkan pendaftaran pendaki sebelum memasuki sesuatu denai, hutan, bukit dan gunung yang ditetapkan.”
“Langkah lain termasuk menambah baik sistem pemantauan melalui mekanisme daftar masuk keluar digital bagi memastikan pihak berkuasa dapat segera dimaklumkan apabila pendaki gagal pulang mengikut jadual selain mengenakan syarat lebih ketat terhadap malim gunung berlesen di laluan mencabar dan berisiko tinggi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Lee turut mencadangkan supaya audit keselamatan dan penilaian risiko dijalankan secara berkala di laluan pendakian popular bagi mengenal pasti bahaya seperti tanah runtuh, pokok tumbang, laluan rosak, papan tanda tidak mencukupi dan bentuk muka bumi berbahaya selain pemasangan lebih banyak papan tanda arah, penanda jarak, lokasi kecemasan serta notis amaran di sepanjang laluan pendakian.
Beliau berkata penggunaan teknologi secara lebih meluas termasuk aplikasi penjejakan GPS, suar kecemasan, dron dan sistem geolokasi, mampu memudahkan usaha menyelamat dengan lebih pantas manakala kempen pendidikan awam hendaklah menekankan kepentingan mengelakkan pendakian secara bersendirian, memeriksa keadaan cuaca, membawa bekalan mencukupi serta memaklumkan ahli keluarga mengenai pelan perjalanan.
Lee juga menyarankan pembangunan pangkalan data nasional berkaitan insiden pendakian bagi membantu pihak berkuasa memahami faktor risiko dengan lebih baik dan merangka dasar keselamatan berasaskan bukti.
Pada masa sama, beliau mengingatkan para pendaki agar mengamalkan tanggungjawab kendiri dan berkata banyak insiden berlaku kerana terdapat individu yang memandang rendah tahap kesukaran laluan, mengabaikan amaran cuaca, gagal membuat persediaan secukupnya atau memasuki kawasan yang tidak pernah dilalui tanpa malim gunung.
“Setiap tragedi yang boleh dicegah seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak berkepentingan. Matlamatnya bukan untuk menghalang aktiviti pendakian sebaliknya bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati alam semula jadi dengan selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Aktivis itu juga berkata operasi mencari dan menyelamat pendaki hilang sering melibatkan penggunaan tenaga kerja dan sumber yang besar daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam, malim gunung, sukarelawan serta komuniti setempat.
Beliau berkata operasi sedemikian mungkin berterusan selama beberapa hari dan mendedahkan anggota penyelamat kepada risiko yang besar.
Kes terbaharu menyaksikan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa di Kuala Kubu Baharu ditemukan meninggal dunia Rabu selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama empat hari.
-- BERNAMA