Skip to main content

Malaysia

Kaedah PFI untuk tampung kos pembesaran LTAPP - Guan Eng

71546665873_LGE.jpg
Kerajaan akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI)  bagi menampung kos menaiktaraf dan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembiayaan daripada pihak swasta adalah diperlukan memandangkan projek tersebut melibatkan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM1.2 bilion.

Menerusi PFI, ia secara tidak langsung  dapat mengurangkan dana yang perlu dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Projek ini melibatkan jumlah kewangan yang tinggi. Kita mahu besarkan lapangan terbang ini sehingga mampu menampung 16 juta penumpang pada satu masa.

“Menerusi PFI kita jangka melebihi RM1.2 bilion. Tapi ini akan dibuat secara tender terbuka. Kita harap prosesnya boleh dimulakan tahun ini dan pihak yang berjaya boleh dilantik akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata melalui kaedah PFI itu, kerajaan akan melantik sebuah syarikat berkelayakan dalam pembesaran projek lapangan terbang itu melalui tender terbuka, dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Guan Eng berkata demikian selepas mengedarkan bunga kepada para wanita  sempena Hari Wanita Sedunia, di Georgetown, pada Ahad.

Katanya, ketika ini, berlaku kesesakan di LTAPP berikutan peningkatan jumlah pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri itu.

Justeru, menerusi PFI, beliau yakin projek tersebut akan dapat dijalankan secara lebih efisyen disamping mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan kerajaan.

Jelas beliau, kaedah sama juga akan digunakan untuk cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah.

Must Watch Video