Skip to main content

Malaysia

JPNP nafi dakwaan berlaku pembalakan haram di Bentong

JPNP Pembalakan_BERNAMA
JPNP memaklumkan kerja penebangan pokok di lokasi terbabit adalah sebahagian daripada proses penyediaan tapak bagi projek yang telah diluluskan secara sah.

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menafikan dakwaan berlaku aktiviti pembalakan haram di kawasan Bentong seperti yang ditularkan menerusi sebuah video di media sosial baru-baru ini.

JPNP dalam kenyataan memaklumkan aktiviti penebangan pokok yang dipaparkan dalam video berkenaan bukan pembalakan haram, sebaliknya ia dijalankan di atas tanah berstatus hak milik persendirian yang terletak di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

“JPNP dan kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kelestarian pengurusan hutan serta persepsi masyarakat terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar di negeri ini,” menurut kenyataan itu semalam. 

Kenyataan itu turut memaklumkan kawasan berkenaan merangkumi lima lot tanah hak milik yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa bagi tujuan pembangunan projek pertanian.

“Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan dan pengurusan tanah yang memberi manfaat kepada pemilik tanah serta pembangunan sektor pertanian setempat,” menurut kenyataan itu. 

JPNP memaklumkan kerja penebangan pokok di lokasi terbabit adalah sebahagian daripada proses penyediaan tapak bagi projek yang telah diluluskan secara sah, dan bukannya aktiviti pembalakan haram seperti yang ditularkan.

Menurut kenyataan itu JPNP sentiasa komited dalam memastikan sebarang aktiviti pembangunan dan guna tanah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa, di samping memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahihkan. Tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan salah faham dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Pihak JPNP sentiasa mengalu-alukan maklumat rasmi daripada orang awam dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang tertakluk di bawah akta dan enakmen perhutanan di negeri ini,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video