Skip to main content

Malaysia

Johor catat pendaftaran tahun satu antara yang tertinggi, signal positif RPM2026-2035

Fadhlina Sidek
Fadhlina ketika menghadiri Program Jaulah Ramadan Komuniti 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar.

MUAR: Johor merekodkan jumlah pendaftaran tahun satu antara yang tertinggi melibatkan murid berusia enam tahun bagi kemasukan 2027, di bawah pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, setakat ini hampir 50,000 pendaftaran diterima di seluruh negara, dengan Johor mendahului kebanyakan negeri lain dari segi jumlah permohonan sekali gus membuktikan keyakinan ibu bapa terhadap hala tuju baharu sistem pendidikan negara.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu signal yang amat positif terhadap penerimaan masyarakat, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang memahami aspirasi reformasi pendidikan yang sedang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

“Apabila Johor menjadi antara negeri yang tertinggi, maknanya dari segi persiapan mental, persiapan emosi dan kefahaman ibu bapa itu berada pada tahap yang baik.

“Ini menunjukkan mereka memahami aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia dan bersedia untuk bersama kita menjayakannya,” katanya pada sidang media selepas Program Jaulah Ramadan Komuniti 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar.

Fadhlina berkata tempoh pendaftaran dibuka sehingga 31 Mac ini, namun kementerian memberi jaminan bahawa ibu bapa masih boleh membuat permohonan selepas tarikh tersebut atas dasar fleksibiliti dan komitmen memastikan akses pendidikan yang inklusif.

“Signal ini kita ambil secara positif yang mana menunjukkan ibu bapa yakin dengan sistem yang akan kita laksanakan dan percaya bahawa perubahan ini penting untuk memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan dalam arus pendidikan global,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sasaran maksimum pendaftaran ditetapkan sehingga 700,000 murid sekiranya semua ibu bapa memilih untuk menyertai pelaksanaan berkenaan.

Katanya, kementerian telah membuat perancangan rapi dari segi prasarana, penempatan guru serta penyusunan kapasiti sekolah berdasarkan unjuran dan perkembangan semasa pendaftaran.

Beliau menegaskan, fokus utama kementerian ketika ini adalah memastikan sasaran wajib capai dalam tempoh 10 tahun di bawah RPM dapat direalisasikan dengan sokongan menyeluruh daripada ibu bapa, guru dan komuniti.

“Yang penting sekarang adalah kita terus bekerja keras meningkatkan mutu pendidikan negara dan mengangkat martabat sistem pendidikan kita. Sokongan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan ini benar-benar memberi manfaat kepada anak-anak,” katanya lagi.

Mengulas Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) tahun 2026 yang diadakan, ujarnya ia bertujuan memperkukuh hubungan antara warga KPM dan masyarakat setempat dengan menggabungkan elemen kerohanian, kebajikan dan pendidikan.

Program itu turut mempergiatkan pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan (TEKAD), sebagai platform penerangan RPM dan hala tuju pendidikan serta sesi libat urus berterusan.

 

Must Watch Video