TELUK INTAN: Siasatan terhadap pegawai dan anggota polis dipercayai terlibat dalam kes penemuan barang terlarang di lokap Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 12 Mei lepas, akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata siasatan dalaman berhubung kes itu telah selesai dan beberapa individu yang dikenal pasti telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada JIPS yang mengendalikan siasatan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
“Sekiranya JIPS mendapati kes berkenaan serius, satu lembaga tatatertib akan dilantik bagi menentukan bentuk hukuman yang bersesuaian terhadap mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Diskusi Town Hall Karnival Pencegahan Jenayah Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Dataran Menara Condong di sini hari ini.
Pada 15 Mei lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggantung tugas pegawai dan anggota yang terlibat susulan penemuan barangan terlarang di lokap IPD Ipoh baru-baru ini.
Media melaporkan pemeriksaan mengejut JIPS IPK Perak menemukan pelbagai barangan terlarang, termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral, IPD Ipoh pada 12 Mei setelah mendapat maklumat awam.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata polis akan memperketat kawalan keselamatan di lokap, termasuk menggunakan Unit Pengesan K9 bagi membantu pemeriksaan kemasukan tahanan dan pelawat.
Beliau berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang, selain memulihkan imej pasukan yang tercalar susulan kes berkenaan.
“Kami memandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang cuai atau melanggar prosedur operasi standard sehingga menjejaskan keselamatan lokap serta integriti pasukan,” katanya.
-- BERNAMA