KUALA LUMPUR: JETOUR Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, JETOUR T2, sekali gus memperkukuh kehadiran jenama itu dalam pasaran automotif tempatan yang semakin kompetitif, khususnya dalam segmen SUV berorientasikan pengembaraan.
Presiden JETOUR International, Ke Chuandeng berkata, pelancaran model itu menandakan langkah penting dalam pengembangan jenama berkenaan di Malaysia yang disifatkan sebagai pasaran strategik bagi pertumbuhan syarikat di rantau ini.
Menurutnya, JETOUR T2 direka bagi memenuhi keperluan pemandu yang mahukan gabungan kepraktisan penggunaan harian dengan keupayaan merentas pelbagai jenis permukaan jalan.
“Di pasaran ini, JETOUR T2 merupakan sebuah SUV yang sangat berpotensi. Ia dilengkapi sistem pacuan empat roda XWD yang profesional, membolehkan kenderaan dipandu merentasi pelbagai keadaan jalan dengan lebih yakin.
“Kenderaan ini juga menawarkan pengalaman pemanduan yang baik serta saiz yang lebih besar, dan kami percaya segmen SUV mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar pada masa hadapan. Justeru, kami yakin untuk memperkenalkan model ini di Malaysia,” katanya.
Dari segi prestasi, JETOUR T2 dikuasakan enjin 2.0 liter Turbocharged Direct Injection (TGDi) yang menghasilkan 180 kilowatt kuasa serta 375 Newton meter tork, dipadankan dengan transmisi Dual Clutch tujuh kelajuan (7DCT).
Kuasa disalurkan melalui sistem Intelligent XWD yang dilengkapi mod pemanduan 7+X, yang menyesuaikan pengagihan tork secara berterusan mengikut permukaan dan keadaan pemanduan bagi meningkatkan cengkaman, kestabilan serta kawalan kenderaan.
SUV itu turut menerima penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP serta dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2, enam beg udara SRS, Panoramic View Monitoring System dengan paparan 360 darjah serta Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).
Dari sudut reka bentuk, JETOUR T2 menampilkan imej lasak dengan siluet berkotak yang menonjol di jalan raya, selain dilengkapi lampu hadapan LED automatik, lampu tandatangan “JETOUR” yang bercahaya serta lampu belakang LED Light Ray yang tersendiri.
Keselesaan pemandu dan penumpang turut dipertingkatkan melalui tempat duduk hadapan berpengudaraan, fungsi memori tempat duduk, pencahayaan ambien pelbagai warna serta bumbung suria panoramik yang memberikan rasa ruang kabin lebih luas.
Beliau turut menegaskan komitmen syarikat untuk terus memperkukuh kehadiran di Malaysia melalui pelaburan jangka panjang serta pengenalan lebih banyak model pada masa hadapan.
“Kami berada di Malaysia dengan perspektif jangka panjang. Ketika ini kami telah menubuhkan syarikat perkhidmatan sendiri di sini serta sedang membangunkan pengeluaran tempatan.
“Kami juga merancang untuk memperkukuh pembelian tempatan selain menubuhkan institusi penyelidikan dan reka bentuk bagi memahami keperluan pelanggan dengan lebih mendalam supaya produk yang ditawarkan lebih sesuai dengan kehendak pasaran.
“Pada masa hadapan, kami juga akan memperkenalkan lebih banyak model baharu bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin pelbagai,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau juga menekankan bahawa membina kepercayaan pelanggan menjadi keutamaan bagi jenama yang masih baharu di pasaran tempatan.
“Sebagai jenama yang masih baharu, perkara paling penting bagi kami ialah bagaimana untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan.
“Oleh itu, kami perlu menawarkan produk yang benar-benar berkualiti, mempunyai prestasi yang baik serta harga yang berpatutan seperti yang dapat dilihat melalui pelancaran JETOUR T2 hari ini.
“Selain itu, perkhidmatan selepas jualan serta ketersediaan alat ganti juga sangat penting kerana pelanggan tempatan mungkin mempunyai kebimbangan terhadap jenama luar dari segi sokongan selepas jualan.
“Justeru, kami akan terus memperluaskan rangkaian pusat jualan dan servis bersama rakan pengedar bagi menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang lebih mudah dan menyeluruh kepada pelanggan,” jelasnya.
Tambahnya, JETOUR akan memperkukuh hubungan dengan pengguna melalui pelbagai program komuniti dan aktiviti jenama.
“Kami juga mahu mewujudkan hubungan lebih rapat dengan pengguna melalui pelbagai aktiviti seperti perjalanan bersama pelanggan, festival peminat, persidangan Travel+ serta program komuniti bersama keluarga pengguna.
“Melalui usaha ini, kami berharap dapat membina hubungan yang kukuh dengan pengguna serta memperkukuh reputasi jenama JETOUR di Malaysia,” katanya.
JETOUR T2 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Khaki White, Aviation Silver dan Carbon Black pada harga bermula daripada RM156,800.
Model itu turut didatangkan dengan jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau sehingga 150,000 kilometer serta jaminan rangkaian kuasa selama 10 tahun atau sehingga satu juta kilometer.
Selain itu, 3,000 pembeli pertama yang mendaftarkan kenderaan berkenaan akan menikmati rebat tunai sebanyak RM2,000.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai JETOUR T2 boleh melayari laman sesawang rasmi JETOUR Malaysia atau mengunjungi bilik pameran JETOUR berhampiran.