KUALA LUMPUR: Jepun berminat mempertingkat promosi produk makanannya di Malaysia serta menjalin kerjasama dalam teknologi makanan, terutama bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), menurut Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Norikazu Suzuki.
Suzuki berkata Jepun ketika ini mengimport minyak sawit dalam kuantiti besar dari Malaysia, selain mengeksport beras, daging wagyu dan produk Jepun lain ke negara Asia Tenggara itu.
“Saya berharap pertukaran dalam industri makanan dapat diperkukuh pada masa depan supaya rakyat Malaysia dapat menikmati lebih banyak budaya dan perkhidmatan makanan Jepun,” katanya kepada media ketika melawat Jaya Grocer di LaLaport Bukit Bintang City Centre di sini pada Jumaat.
Menurut kenyataan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Suzuki melawat Bangladesh dan Malaysia dari 28 April hingga 1 Mei bagi mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan serta lawatan tapak demi mengukuhkan hubungan dua hala dan memperluas eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun.
Pada Jumaat, Suzuki turut bertukar pandangan dengan syarikat Malaysia yang membekalkan urea, iaitu bahan mentah bagi baja, serta minyak mentah dan produk petroleum kepada Jepun.
Beliau juga mengadakan perbincangan dengan peruncit tempatan di Malaysia bagi memperluas eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan Jepun.
“Saya fikir penting untuk memastikan bekalan stabil untuk Jepun. Harga baja pasti meningkat pada masa depan. Kami akan meneliti kesannya terhadap industri pertanian dan mengambil langkah untuk menyokongnya,” kata beliau.
-- BERNAMA