Skip to main content

Malaysia

Jenazah tiga beranak maut kemalangan dikebumi dalam satu liang lahad

BANDAR PERMAISURI, 24 Mac -- Suasana pilu menyelubungi apabila jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di KM 59, Jalan Jerangau-Jabor di Felda Jerangau dekat Dungun, semalam, dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tong, Setiu, hari ini untuk dikebumikan.
Suasana pilu menyelubungi apabila jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di KM 59, Jalan Jerangau-Jabor di Felda Jerangau dekat Dungun, semalam, dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tong, Setiu, hari ini untuk dikebumikan. - Foto BERNAMA

BANDAR PERMAISURI: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Dungun semalam selamat dikebumikan petang tadi.

Nurul Hafizah Shaary, 39, dan dua anaknya Muhammad Redzuan Arash Mohamad Redzuan, 13, serta Nur Radya Athalia, 4, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tong di Setiu, 6.15 petang tadi.

Sebelum itu, jenazah tiga beranak tersebut dibawa ke Masjid Ar-Ridhwan Sungai Tong dan disolatkan selepas asar.

Lebih 200 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan hadir pada pengebumian itu.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, Nurul Hafizah yang bekerja sebagai ejen di sebuah syarikat penapis air dan udara bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan adiknya.

Namun kenderaan utiliti sukan jenis Perodua Aruz yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar paip air serta tiang elektrik di sebelah kiri.

Kejadian itu turut menyebabkan dua lagi anak mangsa, Nur Raesha Amanda, 14, dan Nur Rakhlis Aral Yn, 9, cedera dan kini dirawat di hospital. 

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video