Skip to main content

Malaysia

Jawatankuasa tertinggi biobahan api ditubuhkan, perkukuh keselamatan tenaga negara – Menteri Ekonomi

61679379954_biodieselbiodiese.jpg
Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Biobahan Api bagi menyelaras pelaksanaan agenda keselamatan tenaga negara secara lebih tersusun dan bersepadu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Biobahan Api bagi menyelaras pelaksanaan agenda keselamatan tenaga negara secara lebih tersusun dan bersepadu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu antara usaha memperkukuh penggunaan sumber tenaga domestik khususnya biodiesel, di samping mengurangkan kebergantungan kepada import serta menyokong industri tempatan.

“Agenda keselamatan tenaga negara perlu digerakkan secara lebih menyeluruh termasuk melalui penggunaan sumber domestik yang lebih strategik,” katanya.

“Dalam hubungan ini, kerajaan sedang memperkukuh pelaksanaan biodiesel sebagai langkah untuk memanjangkan bekalan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada import serta menyokong industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada libat urus langsung bersama industri strategik serta pemantauan di lapangan bagi memastikan pelaksanaan dasar tenaga berada pada tahap optimum.

Tambah beliau, lawatan ke Pengerang Integrated Complex (PIC) pada 24 April lalu turut memberi gambaran jelas mengenai peranan fasiliti berkenaan dalam memastikan kestabilan bekalan bahan api dan produk petrokimia negara.

“PIC mempunyai kapasiti penapisan 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia melebihi 3.3 juta tan metrik setahun.

"Peranan ini penting kerana produk petrokimia merupakan bahan mentah utama bagi produk seperti plastik, pembukusan dan pelbagai keperluan harian,” jelasnya lagi. 

Must Watch Video