Skip to main content

Dunia

56 kapal GSF mula belayar ke perairan antarabangsa menuju Gaza - SNCC

BARCELONA, 13 April -- Para aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memulakan pelayaran mereka di Laut Mediterranean dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta.  Misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA
SNCC memaklumkan misi berkenaan menyaksikan penggabungan strategik di antara kumpulan flotila dari Barcelona yang terdiri daripada 40 buah kapal dengan kumpulan Itali, menjadikan jumlah keseluruhan armada kini mencecah 56 buah kapal. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 56 buah kapal yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah memulakan pelayaran keluar dari Pelabuhan Catania, Itali untuk meneruskan misi menuju ke Gaza.

Sumud Nusantara Command Center (SNCC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan misi berkenaan menyaksikan penggabungan strategik di antara kumpulan flotila dari Barcelona yang terdiri daripada 40 buah kapal dengan kumpulan Itali, menjadikan jumlah keseluruhan armada kini mencecah 56 buah kapal.

Menurut kenyataan itu, terdapat beberapa buah kapal yang sedang menjalani proses teknikal serta pembaikan di Pelabuhan Catania dan akan menyusul sebaik selesai proses berkenaan.

SNCC turut memaklumkan keseluruhan 36 rakyat Malaysia yang terdiri daripada jurutera bot, kapten, pasukan perubatan, kru kapal penganjur dan peserta berada dalam keadaan sihat serta bersemangat untuk meneruskan fasa pelayaran berkenaan.

“Pihak urus setia sentiasa memantau tahap keselamatan dan kebajikan semua kru bagi memastikan kelancaran operasi di perairan antarabangsa,” menurut kenyataan itu. 

SNCC memaklumkan berikutan terdapat beberapa kapal yang mengalami kerosakan teruk, satu penyesuaian tugasan telah dibuat melibatkan Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi dan Nurul Hidayah Mohd Amin yang kini telah selamat tiba di tanah air.

Mereka akan memulakan tugas di pangkalan SNCC Sepang yang kini turut berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh buah negara.

SNCC turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi berkenaan serta meminta rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan moral dan mendoakan keselamatan seluruh armada Global Sumud Flotilla.

“Pihak media dan orang awam dinasihatkan agar merujuk kepada SNCC sebagai sumber maklumat sahih bagi mengikuti perkembangan terkini misi,” menurut kenyataan itu.

GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video