Skip to main content

Malaysia

'Jangan terburu kritik SPRM, tunggu laporan penuh' - PM Anwar

PUTRAJAYA, 6 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika ditemui media pada Program Ihya Ramadan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika ditemui media pada Program Ihya Ramadan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru membuat tuduhan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat politik kerajaan.

Beliau berkata, sebarang kritikan atau serangan terhadap badan pencegah rasuah itu seharusnya dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan laporan rasmi, bukannya mengikut selera politik semata-mata.

“Nak buat tuduhan tengok laporan dulu. Bagi jawapan. Kalau pakai sergah begitu sahaja, saya tidak pertahankan tetapi saya kata, kita dah buat jawatankuasa. 

"Saya percaya kepada Peguam Negara, bagi laporan dulu. Ini belum terima laporan, tuduh kena ikut selera politik.

“Janganlah, dalam bulan Ramadan ini, belum apa-apa lagi kita sudah menyerang. Dapat maklumat dulu, kemudian buat keputusan,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni kira-kira 400 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Program Ihya’ Ramadan di Putrajaya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan kritikan terhadap SPRM sebagai tidak adil sekiranya ia dibuat secara terpilih tanpa melihat kepada usaha pembersihan rasuah yang sedang dijalankan secara menyeluruh.

Anwar turut mempersoalkan sikap segelintir pihak yang sebelum ini membisu terhadap kes-kes kecurian dana negara mencecah puluhan bilion ringgit yang telah pun didedahkan.

“Saya tahu banyak parti menganggap ini satu kenyataan yang popular. Semua nak bersih, tetapi apa dia? Yang berpuluh-puluh bilion yang dicuri selama ini, mengapa tidak ada suara?

“Boleh kritik sesiapa pun termasuk (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki, tetapi biarlah konsisten. Yang dicuri di dalam negara ini sudah mencecah berpuluh bilion telah terdedah,” tegas beliau.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau sedang menunggu laporan penuh berkaitan perkara tersebut yang dijangka diterima hari ini sebelum membuat sebarang ulasan lanjut.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Ia susulan Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
 

Must Watch Video