Skip to main content

Malaysia

Jangan beri ruang kepada pembelot negara – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail... kredit Pasukan Gerakan Am
Tuanku Syed Faizuddin (tengah) dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri 2026 di Padang Besar, pada Isnin.

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa tiada ruang sama sekali harus diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menjadi pembelot negara.

Baginda bertitah, keamanan yang dinikmati hari ini sukar dipertahankan tanpa pengorbanan, komitmen dan dedikasi tinggi oleh seluruh anggota pasukan keselamatan.

Dalam masa sama, baginda turut mengingatkan bahawa setiap tindakan dan tugas anggota keselamatan sentiasa berada dalam perhatian Allah SWT, justeru semangat juang serta tekad mempertahankan negara perlu sentiasa diperkukuhkan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna Kompeni C Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, di sini, pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ketibaan Baginda berdua disambut Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Muhammad Abdul Halim.

Dalam titahnya, baginda memuji langkah bersepadu agensi keselamatan negeri yang menurutnya menjadikan Perlis sebagai kawasan berisiko tinggi kepada pihak yang cuba menjalankan kegiatan haram rentas sempadan Malaysia-Thailand.

Baginda menegaskan, usaha itu menuntut integriti tinggi, iltizam berterusan serta kerjasama rapat antara semua agensi yang terlibat.

Raja Muda turut dimaklumkan bahawa tahap kesiapsiagaan dan ketegasan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkat, termasuk memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan kawalan sempadan lebih berkesan.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan rasa bangga terhadap masyarakat di kedua-dua belah sempadan yang lebih peka dan sanggup menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa apabila mengesan sesuatu yang mencurigakan.

Perkembangan ini, titah baginda, mencerminkan kematangan masyarakat dengan mentaliti kelas pertama dalam membantu memelihara keselamatan negara.

“Keselamatan negeri dan negara bukan tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, tetapi memerlukan sokongan semua pihak,” tegas baginda.

Program tahunan anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis itu menjadi tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang tetap bertugas ketika sambutan Aidilfitri demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan simbolik perasmian program serta menyampaikan sumbangan kuih raya kepada 12 agensi keselamatan termasuk PGA, Markas Briged Ke-30 Infantri, Kastam, Imigresen, Bomba, Rejimen Renjer Diraja, APMM, JPJ, Polis Marin dan MAQIS.

Majlis itu turut dihadiri delegasi keselamatan Thailand diketuai Komander Polis Wilayah Satun, Mejar Jeneral Polis Nipon Hamsalamat, selain wakil tentera, polis, kastam dan imigresen dari wilayah Satun dan Songkhla yang bersempadan dengan Wang Kelian serta Mejar Jeneral Polis (B), Datuk Pichate Pitisatetapan.

Must Watch Video