Skip to main content

Malaysia

Jakim sasar percepat proses sijil halal menerusi sistem AI

BANGI, 11 Feb -- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Sekretariat Dakwah JAKIM di Bangi Resort Hotel hari ini.    --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sirajuddin berkata inovasi pendigitalan itu membolehkan proses kelulusan dilaksanakan dalam tempoh lebih singkat, sekali gus menyahut hasrat kerajaan untuk menyokong pertumbuhan industri. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyasarkan tempoh memproses permohonan pensijilan halal dapat disingkatkan menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata langkah itu bakal direalisasikan melalui pengenalan sistem MyeHALAL 2.0 yang disokong pangkalan data MyHALALINGREDIENTS dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Dengan menggunakan data sedia ada, kita boleh memanfaatkannya melalui teknologi AI. Menerusi MyeHALAL 2.0, sistem itu akan menyemak setiap permohonan yang dihantar berasaskan pangkalan data kita, iaitu MyHALALINGREDIENTS yang bertindak sebagai sistem sokongan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.

Beliau berkata inovasi pendigitalan itu membolehkan proses kelulusan dilaksanakan dalam tempoh lebih singkat, sekali gus menyahut hasrat kerajaan untuk menyokong pertumbuhan industri.

Selain penggunaan AI, Sirajuddin berkata Jakim turut memperkenalkan inisiatif whitelist bagi syarikat yang mempunyai tahap komitmen yang tinggi dan rekod pematuhan yang baik untuk mempercepatkan lagi proses kelulusan sijil halal.

“Bagi syarikat-syarikat yang berkomitmen tinggi dan tak pernah ada masalah, kita namakan mereka whitelist. Ertinya jika mereka memohon dan menghantar dokumen sokongan dengan segera, kelulusan sijil halal boleh disiapkan dalam masa seminggu.

“Ini antara perkara yang kita ambil kira. Oleh kerana komitmen yang tinggi oleh pihak syarikat, maka tidak perlulah kita menyusahkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement