Skip to main content

Malaysia

Jabatan Penjara siasat kesahihan, sumber video tular papar tahanan reman bolos

Sumber: FOTO TULAR
Suspek yang berdepan pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan imigresen itu, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara sedang menyiasat kesahihan dan sumber asal rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan seorang tahanan reman dipercayai meloloskan diri daripada kawalan pihak polis di pekarangan Penjara Sungai Buloh.  

Jabatan itu memaklumkan aspek keselamatan institusi pemulihan berkenaan sentiasa menjadi keutamaan.

"Sebarang kelemahan dikenal pasti akan ditambah baik serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Penjara, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi kira-kira 30 saat memaparkan sebuah lori diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang dipercayai membawa beberapa tahanan reman ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam video itu, seorang lelaki kelihatan melarikan diri sebaik saja turun dari lori berkenaan sebelum dikejar oleh beberapa anggota polis.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis giat mengesan seorang tahanan reman warga Pakistan, Muhammad Hassan, 24, yang melarikan diri di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang Khamis lepas, selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

Suspek yang berdepan pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan imigresen itu, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran Chandra menerusi talian 010-4304383 atau Hotline Bilik Operasi Search and Capture (SAC) 03-61401096.

-- BERNAMA

Must Watch Video