KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi individu termasuk dua pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang, Selangor.
Menurut sumber, dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an berkenaan ditahan antara 8 dan 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati dua daripadanya yang merupakan pengarah syarikat, seorang akauntan manakala seorang lagi orang awam disyaki melakukan perbuatan itu sejak 2022.
“Mereka dipercayai bersubahat memberi suapan kepada pegawai penguat kuasa di Pelabuhan Klang bagi tujuan pelepasan barang import yang tidak diisytihar,” katanya.
Menurut sumber, perintah reman selama enam hari hingga 30 April ini terhadap empat individu terbabit dikeluarkan Majistret Shaik Zuladdruse Merican Fadzol selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Bermula Selasa lepas, SPRM melalui Bahagian Operasi Khas (BOK) menjalankan operasi bersepadu dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Op Celio.
Susulan itu, penggeledahan dijalankan di 26 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.
Operasi tersebut menyasarkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak Kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.
Siasatan mendapati sindiket terbabit memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.
Melalui operasi itu juga, SPRM telah membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM185 juta dan setakat ini lima individu telah dirakam keterangan berhubung kes tersebut.
Akibat daripada aktiviti ini kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA