Skip to main content

Malaysia

Isu tuntutan Sabah polemik berulang, bahan politik Filipina - Hajiji

Hajiji
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah disifatkan sebagai polemik berulang yang sering dibangkitkan demi kepentingan politik pihak tertentu, terutama ketika menjelang musim pilihan raya di negara itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia ialah muktamad serta telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), justeru perkara itu tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Selalunya di sana, kalau hampir pilihan raya senat mereka, timbullah isu seumpama ini. Tetapi, jelas dari awal negeri Sabah rakyatnya sudah membuat keputusan untuk bersama-sama Malaysia. Hal ini tidak boleh dipersoalkan lagi.

"Kita negeri yang berdaulat dalam Malaysia, diiktiraf oleh PBB," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata sebarang usaha untuk menghidupkan semula tuntutan berkenaan hanya akan mencetuskan kekeliruan serta boleh menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua pihak agar menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia serta tidak menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik.

Baru-baru ini, media melaporkan Senator Filipina Robin Padilla menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr supaya mengaktifkan semula tuntutan negara itu terhadap Sabah, termasuk mengaitkannya dengan potensi sumber minyak dan gas di negeri berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video