Skip to main content

Malaysia

Isu SPHM: Tiada keperluan tarik lesen perniagaan dua syarikat di Melaka

Sumber: JAKIM

MELAKA: Tiada keperluan untuk menarik lesen perniagaan dua syarikat pengeluar makanan dan minuman di Melaka yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kerana menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi untuk kerja-kerja pembersihan peralatan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata ini kerana kedua-dua syarikat berkenaan tidak dikesan melanggar syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Beliau berkata sebagai tambahan, tindakan terhadap pelanggaran prosedur dan syarat SPHM telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Setakat ini, MBMB tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan pelanggaran syarat lesen perniagaan melibatkan kedua-dua syarikat itu.

“Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kami melahirkan rasa dukacita dengan insiden yang berlaku dan berharap ia tidak berlaku di mana-mana premis perniagaan lain,” katanya selepas Majlis Santuni Kasih Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di sini malam tadi.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman.

Sebelum ini, media melaporkan SPHM dua syarikat, iaitu masing-masing pengeluar kopi dan biskut di negeri itu ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata keempat-empat pihak berkuasa tempatan di negeri itu sentiasa bersiap sedia dan memastikan semua produk pelancongan dalam kawasan pentadbiran mereka berada dalam keadaan bersih untuk menerima kunjungan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 pada tahun ini.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf setiap produk pelancongan berkenaan juga sentiasa dilakukan seperti menambah baik pencahayaan dan fasiliti bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung dan pelancong.

Terdahulu, Rais berkata sebanyak 250 penerima melibatkan golongan kurang berkemampuan dari 12 Dewan Undangan Negeri dalam kawasan pentadbiran MBMB menerima sumbangan peralatan elektrik dan barang keperluan harian daripada Intrinseque Health (Malaysia) Sdn Bhd.

Beliau berkata sumbangan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan sebagai sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam menyejahterakan rakyat menerusi kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan swasta, seiring gagasan Melaka Sayang Rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video