Skip to main content

Malaysia

Aidiladha: PM Anwar sumbang 260 ekor lembu korban untuk Parlimen Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM, 26 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) melihat lembu korban yang akan diserahkan kepada wakil penerima pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Mengkuang Titi hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) melihat lembu korban yang akan diserahkan kepada wakil penerima pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Mengkuang Titi hari ini. - Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyumbangkan sebanyak 260 ekor lembu korban kepada Parlimen Permatang Pauh bersempena dengan Hari Raya Aidiladha tahun ini, bagi membantu golongan memerlukan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 155 ekor lembu diagihkan menerusi Program Korban MADANI di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen berkenaan, iaitu DUN Seberang Jaya sebanyak 54 ekor, DUN Penanti (67 ekor) dan DUN Permatang Pasir (34 ekor), manakala 105 ekor lagi disumbangkan kepada Masjid Daerah Seberang Perai Tengah.

Perdana Menteri berkata ibadah korban bukan sekadar pelaksanaan ritual agama, sebaliknya membawa mesej besar mengenai ketaatan kepada Allah SWT, semangat pengorbanan dan daya juang dalam kehidupan.

“Pertama, ia jelas taat kepada Allah SWT, kedua semangat pengorbanan kerana tidak ada perjuangan, erti kehidupan jika tidak tahu erti kesabaran dan daya tahan untuk berjuang.

“Kekuatan tambahan ini (menjadikan) ibadah itu memberi manfaat kepada masyarakat. Betul korban itu kegiatan ibadah, tetapi manfaatnya kepada keluarga dan masyarakat,” kata beliau pada majlis agihan lembu korban berkenaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata satu pendekatan baharu diperkenalkan dalam pelaksanaan korban tahun ini, apabila peserta yang berkemampuan turut menyumbang sebahagian kos bagi menjayakan ibadah berkenaan.

Beliau berkata kaedah itu memberi lebih penghayatan kepada peserta tentang erti ibadah korban, kerana turut menyumbang secara langsung dalam menjayakannya.

Beliau berkata penghayatan ibadah korban juga perlu diterjemahkan melalui usaha menyantuni rakyat terutama fakir miskin, golongan kurang bernasib baik dan mereka yang dibelenggu kesusahan hidup.

“Jadi sementara kita ada rezeki, kita gunakan untuk meringankan beban masyarakat sekeliling kita sebab itu, apabila saya mendapat amanah memimpin, saya fikir kita tidak boleh hanya menunggu orang miskin atau golongan kurang upaya menghantar memo baru kita nak bertindak.

“Semangat pengorbanan tertinggi yang sebenar adalah dengan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk membantu seramai mungkin golongan yang ketinggalan, fakir dan miskin,” kata beliau.

Menyentuh mengenai isu peruntukan lembu korban yang menjadi bualan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun secara berseloroh menyatakan beliau turut menyalurkan bantuan yang sama di Parlimen Tambun, namun Permatang Pauh sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hatinya.

Terdahulu, pada majlis agihan lembu korban bagi DUN Permatang Pasir di Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang, Perdana Menteri turut membawa anak dan cucunya bagi menyantuni masyarakat setempat.

Anwar turut meninjau perkembangan Projek Masjid Jamek Cherok Tok Kun yang diharapkan dapat menjadi pusat ibadah, ilmu serta medan penyatuan ummah buat masyarakat setempat, serta menyempurnakan penyerahan lembu korban kepada wakil masyarakat di Cherok Tok Kun.

Beliau juga mengambil kesempatan singgah di rumah keluarganya di Cherok Tok Kun untuk bertemu dan meluangkan sedikit waktu bersama ahli keluarga serta saudara-maranya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement