Skip to main content

Malaysia

IPP naik 5.9 peratus pada Januari 2026 berikutan prestasi pembuatan yang lebih kukuh - DOSM

81746431341_MohdUzir.jpg
Mohd Uzir berkata penjanaan elektrik turut meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 selepas mencatatkan kenaikan 3.8 peratus pada bulan sebelumnya. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026, disokong terutamanya oleh prestasi kukuh sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP berkembang sebanyak 5.9 peratus pada Januari selepas mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Ia disokong oleh sektor pembuatan, yang meningkat sebanyak 7.3 peratus (Disember 2025: 6.7 peratus), disertai dengan peningkatan marginal 0.1 peratus dalam pengeluaran sektor perlombongan (Disember 2025: -2.5 peratus).

“Selain itu, pengeluaran elektrik berkembang sebanyak 6.3 peratus pada Januari (Disember 2025: 3.8 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.7 peratus daripada 0.2 peratus yang direkodkan pada Disember 2025,” katanya dalam satu kenyataan mengenai IPP pada Januari. 

Mohd Uzir berkata pengeluaran industri berasaskan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan, berkembang sebanyak 7.8 peratus pada Januari, meningkat daripada 7.5 peratus pada bulan sebelumnya. 

Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal, serta diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan, yang masing-masing meningkat sebanyak 17.2 peratus dan 20.7 peratus. 

“Pengembangan tahun ke tahun mencerminkan prestasi eksport negara yang lebih baik, yang meningkat sebanyak 19.6 peratus pada Januari 2026,” katanya. 

Beliau menambah bahawa berbanding dengan Disember 2025, industri berasaskan eksport terus mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 0.7 peratus selepas merekodkan pertumbuhan negatif 0.1 peratus pada bulan sebelumnya. 

Sementara itu, industri berasaskan domestik berkembang 6.4 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada Disember 2025. 

“Pertumbuhan ini diterajui terutamanya oleh pembuatan produk pemprosesan makanan, yang berkembang sebanyak 8.9 peratus, disusuli oleh pembuatan produk logam rekaan, kecuali mesin dan kelengkapan sebanyak 8.5 peratus,” kata Mohd Uzir. 

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik meningkat sebanyak 2.4 peratus berbanding dengan pertumbuhan positif sebanyak 1.0 peratus yang direkodkan pada Disember 2025.

Mengulas lanjut, beliau berkata sektor perlombongan mencatatkan pemulihan pengeluaran, iaitu naik 0.1 peratus pada Januari 206 berbanding -2.5 peratus sebelumnya.

Ini disokong terutamanya oleh indeks minyak mentah dan kondensat yang meningkat pada 3.8 peratus (Disember 2025: 6.4 peratus)

Dalam pada itu, pengeluaran gas asli kekal merosot, walaupun pada kadar penyusutan yang lebih kecil iaitu -2.1 peratus (Disember 2025: -7.9 peratus).

Bagi asas bulan ke bulan, indeks perlombongan meningkat 2.1 peratus berbanding pertumbuhan -0.9 peratus yang direkodkan pada Disember 2025. 

Mohd Uzir berkata penjanaan elektrik turut meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 selepas mencatatkan kenaikan 3.8 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Dalam perbandingan dengan Disember 2025, indeks elektrik meningkat secara marginal 0.2 peratus selepas merekodkan pertumbuhan positif 2.2 peratus pada bulan sebelumnya,” tambahnya. 

Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara meningkat, termasuk China (5.2 peratus), Amerika Syarikat (2.3 peratus), Korea Selatan (7.1 peratus), Singapura (16.6 peratus), Vietnam (21.5 peratus), dan Taiwan (28.5 peratus).

Thailand (1.5 peratus) dan Jepun (2.3 peratus) turut merekodkan peningkatan, walaupun dengan pertumbuhan positif yang lebih kecil pada bulan tersebut. 

-- BERNAMA

Must Watch Video