Skip to main content

Malaysia

Insiden tulisan kalimah Allah di tokong: Suspek lelaki ditahan

Person in handcuffs with blurred police lights in the background at night: FOTO: ADOBE STOCK
Suspek berusia 39 tahun dan dipercayai sakit mental itu ditahan kira-kira 2 petang semalam. - Gambar hiasan

JASIN: Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tulisan kalimah Allah dan bismillahirrahmanirrahim pada sebuah tokong di Pantai Siring di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata suspek berusia 39 tahun dan dipercayai sakit mental itu ditahan kira-kira 2 petang semalam.

"Bagaimanapun, lelaki itu telah diberikan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata tindakan penguatkuasaan terhadap tapak berkenaan yang dibina di kawasan tanah rizab kerajaan dilaksanakan mengikut tatacara undang-undang hari ini.

Beliau berkata tindakan itu diambil selepas semua bahan berkaitan aktiviti keagamaan dikeluarkan oleh pihak terlibat seperti yang dipersetujui.

"Perkara ini diputuskan hasil perbincangan antara wakil pemilik tanah, pemilik bangunan serta agensi terlibat yang diadakan semalam dan hari ini kita dapat sahkan semua bahan sembahan telah dikeluarkan sendiri oleh pihak berkenaan, sekali gus membolehkan tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zaidi berkata pelaksanaan tindakan itu turut disaksikan wakil Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan ia berjalan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa diarahkan menjalankan siasatan terhadap penemuan kalimah Allah dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di sebuah tokong di kawasan sama.

-- BERNAMA

Must Watch Video