Skip to main content

Malaysia

Insiden tembak: AKPS bakal dilengkapi senjata tahun ini

Saifuddin Nasution KDN_Astro AWANI
Saifuddin bercakap kepada pemberita selepas Program Pemurniaan Al-Quran KDN di sini, hari ini.

KLANG: Kerajaan bersetuju bahawa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) perlu dipersiapkan dengan keperluan persenjataan, dengan pengumuman mengenainya dijangka dibuat sebelum hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu susulan beberapa cadangan yang dikemukakan, terutama selepas insiden serangan terhadap komander AKPS di Bukit Kayu Hitam.

Menurut beliau, kejadian tersebut menjadi pencetus kepada perbincangan di peringkat KDN bersama Ketua Setiausaha (KSU) dan pihak AKPS mengenai keperluan memperkukuh aspek keselamatan pasukan berkenaan.

“Daripada situ, pihak KDN di peringkat perbincangan KSU dan juga AKPS bersetuju bahawa ada keperluan untuk mempersiapkan elemen persenjataan kepada AKPS.

“KSU telah buat gerak kerja awal dan kita akan umum dalam masa terdekat, sebelum hujung tahun,” katanya kepada pemberita semasa Program Pemurniaan Al-Quran KDN di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, antara pilihan yang sedang diteliti termasuk penggunaan taser gun serta senjata ringan, dengan kedua-dua itu kini dalam penelitian lanjut oleh pihak kementerian.

Katanya, keputusan dasar berhubung keperluan persenjataan itu telah dipersetujui, manakala jenis senjata yang sesuai masih diperhalusi mengikut arahan Jemaah Menteri.

Pada 25 Februari lalu, kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ditembak dengan dua das tembakan pada awal pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata bagaimanapun beliau terselamat dalam kejadian itu.

Kereta pegawai AKPS itu ditembak oleh suspek tidak dikenali yang menaiki motosikal.

 

Must Watch Video