JAKARTA: Indonesia menetapkan kos menunaikan haji bagi 2026 lebih rendah kira-kira Rp2 juta (RM465.85) bagi setiap jemaah meskipun harga bahan api penerbangan (avtur) meningkat, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.
Presiden Prabowo Subianto berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat, selagi tiada perubahan dasar oleh Arab Saudi.
“Walaupun harga avtur meningkat, kami bertekad untuk mengurangkan kos haji kira-kira Rp2 juta.
“Ini komitmen kerajaan untuk melindungi golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam taklimat bersama menteri Kabinet di Istana Presiden di sini, pada Rabu.
Kerajaan dan Dewan Perwakilan sebelum ini bersetuju bahawa Kos Pengurusan Ibadah Haji (BPIH) bagi 2026 dikurangkan sebanyak Rp2 juta, menjadikan jumlah keseluruhan Rp87,409,366 (kira-kira RM20,359.88) bagi setiap jemaah.
Presiden itu turut menyentuh penambahbaikan tempoh menunggu berdasarkan laporan terbaharu yang diterima kerajaan.
“Tempoh menunggu tidak lagi mencecah 48 tahun. Bermula 2026, tempoh menunggu paling lama diunjurkan sekitar 26 tahun dan kami akan terus berusaha untuk memendekkannya lagi,” katanya.
Prabowo berkata Indonesia juga telah memohon kelulusan pihak berkuasa Arab Saudi untuk membangunkan terminal haji khusus bagi mempercepat urusan keluar masuk jemaah Indonesia.
“Insya-Allah, kami telah memohon kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi supaya Indonesia mempunyai terminal haji khas, agar jemaah kami dapat masuk dan keluar dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata Garuda Indonesia dan dana kekayaan negara, Danantara turut diarahkan supaya mendekati Saudi Airlines bagi mewujudkan usaha sama dengan struktur pegangan 50:50 antara pihak Indonesia dan Arab Saudi untuk mengoptimumkan penggunaan penerbangan.
“Ketika ini, pesawat Garuda membawa jemaah ke Arab Saudi tetapi pulang dalam keadaan kosong. Keadaan ini tidak menjimatkan. Penerbangan Saudi yang membawa pulang jemaah kami ke Indonesia juga kembali kosong,” katanya.
“Kos boleh dikurangkan lagi dan tempoh perjalanan juga dapat dipendekkan,” katanya sambil menambah bahawa arahan itu telah dikeluarkan kira-kira dua bulan lepas.
-- BERNAMA