KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat pegangan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam urus niaga saham mencurigakan, sehingga menyebabkan kerugian dana awam lebih RM300 juta.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Mereka direman empat hari hingga 12 April bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dalam urus niaga penjualan saham antara tahun 2022 hingga 2023, melibatkan penilaian harga tidak munasabah membabitkan kerugian dana awam melebihi RM300 juta.
"SPRM melalui Bahagian Operasi Khas (BOK) telah melakukan penggeledahan di 13 lokasi sekitar Lembah Klang serta membekukan 62 akaun bank bernilai kira-kira RM450 juta.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009, selain turut melibatkan elemen pecah amanah dan pengubahan wang haram," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.