KUALA LUMPUR: Inisiatif baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Legasi dilihat berpotensi mengubah pendekatan perancangan persaraan daripada sekadar tertumpu kepada keperluan individu, kepada instrumen perlindungan kewangan yang lebih menyeluruh bagi keluarga merentas generasi.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah tersebut boleh menjadi satu bentuk intervensi dalam membantu generasi muda membina simpanan persaraan yang lebih kukuh pada masa hadapan.
Menurutnya, cabaran utama ketika ini adalah memastikan lebih ramai ahli KWSP mencapai tahap simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan selesa selepas bersara.
“Ia merupakan satu pemindahan simpanan daripada generasi yang hampir bersara dan dipindahkan sebahagiannya kepada generasi yang muda. Dan mungkin dalam konteks keluarga, mungkin kita bercakap tentang hubungan antara ibu bapa dan juga anak-anak.
“Dan seperti yang kita sedia maklum, cabarannya adalah untuk memastikan kalau boleh, simpanan semua ahli KWSP itu dapat mencapai apa yang dikatakan sebagai simpanan mencukupi iaitu nilai ambangnya adalah RM650,000,” katanya.
Beliau berkata, i-Legasi boleh membantu meningkatkan simpanan persaraan golongan muda yang berdepan pelbagai cabaran ekonomi termasuk kos sara hidup dan tahap pendapatan yang masih belum memuaskan.
Jelasnya, isu simpanan persaraan juga tidak boleh dipisahkan daripada faktor struktur ekonomi yang lebih luas.
“Apabila bercakap tentang simpanan dalam KWSP, mahu tidak mahu dia akan bercakap tentang tangga gaji dan kita sedia maklum tangga gaji rata-ratanya masih lagi dalam keadaan yang perlu banyak diperbaiki, maksudnya banyak yang rendah.
“Jadi tentang perkara tersebut, maka terdapat keperluan untuk membuat satu intervensi supaya dari segi simpanan hari tua nanti akan membantu mereka ataupun pencarum muda ataupun ahli-ahli generasi muda ini dapat mencapai satu simpanan yang lebih selesa apabila mereka mencapai umur persaraan kelak,” ujarnya.
Tambahnya, i-Legasi merupakan usaha yang dilaksanakan dalam skop peranan KWSP, namun penyelesaian jangka panjang memerlukan sokongan dasar yang lebih menyeluruh.
“Jadi dalam skop yang ada itu KWSP cuba membuat satu intervensi supaya nasib ahli-ahli KWSP berada dalam keadaan yang lebih baik.
“Tapi secara gambaran besar, sebenarnya banyak polisi-polisi yang perlu digarap supaya terutamanya tangga gaji rakyat Malaysia akan dapat ditingkatkan. Kemudian dari segi aspek literasi kewangan; kemudian dari segi sumbangan gaji kepada ekonomi itu perlu ditingkatkan,” tambahnya.
Beliau berkata, sasaran untuk meningkatkan kesejahteraan persaraan rakyat juga memerlukan perubahan lebih besar termasuk peningkatan pendapatan rakyat dan pengukuhan tahap celik kewangan.
Katanya, berdasarkan data terkini bagi tahun 2024, sumbangan gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berada pada kadar 33.6 peratus, masih jauh daripada sasaran sekitar 40 peratus menjelang 2030.
Terdahulu, KWSP mengumumkan beberapa penambahbaikan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan ahli termasuk pengenalan i-Legasi, penjenamaan semula kaedah bayaran bulanan bagi Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sebagai i-Emas serta pelancaran Kalkulator Matlamat Persaraan.
Menerusi i-Legasi, ahli KWSP yang mencapai umur pengeluaran penuh dan mempunyai simpanan melebihi tahap Simpanan Mencukupi dibenarkan memindahkan sebahagian lebihan simpanan kepada ahli keluarga terdekat iaitu pasangan dan anak-anak sebagai simpanan jangka panjang.
Langkah itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh daya tahan kewangan keluarga serta membantu generasi seterusnya membina asas persaraan yang lebih terjamin.