KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah melaksanakan 13 reformasi di ibu negara dalam 100 hari pertama memegang jawatan itu bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan ketelusan pentadbiran.
Beliau berkata, langkah itu merangkumi penambahbaikan aspek pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan termasuk usaha menangani kartel tender, memperluas akses kepada sistem serta memperkukuh mekanisme semak dan imbang.
“Sebahagiannya (langkah yang dilakukan) tidak popular. Sebahagiannya mengambil masa untuk menampakkan hasil. Itulah sifat reformasi, tidak semua perubahan boleh dilihat serta-merta.
“Apa yang penting asas telah diletakkan, akses diperluas, ketelusan dipertingkatkan dan keputusan dibuat dengan lebih bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Hannah berkata, antara langkah yang telah dilakukan ialah melibatkan Ahli Parlimen dalam belanjawan dan perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan suara pengundi diwakili.
Selain itu, usaha memerangi kartel tender digerakkan dengan kerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) selain membuka ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani rasuah secara sistematik.
Beliau berkata, rekod kawasan hijau juga diterbitkan secara dalam talian yang memudahkan akses kepada maklumat selain membuka portal One Stop Centre (OSC) DBKL kepada umum untuk memperkukuh ketelusan dalam proses perancangan bandar raya.
Pembaharuan yang turut dilakukan ialah pemberian potongan 80 peratus fi lesen gimnasium untuk memperkasakan agenda bandar sihat, potongan 50 peratus sewa tapak penjaja serta pengurangan kadar tapak bazar Ramadan kepada RM400.
Turut dilakukan ialah penjenamaan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw, menurunkan pagar Padang Merbok, penubuhan pasukan petugas khas bagi pewartaan kawasan lapang dan hijau serta kerja penurapan jalan secara menyeluruh di 51 kawasan perumahan awam dan Program Perumahan Rakyat seliaan DBKL.
Hannah berkata, tempoh 100 hari bagaimanapun masih belum mencukupi dan beliau berharap diberi lebih masa untuk meneruskan agenda reformasi serta menambah baik penyampaian perkhidmatan di Wilayah Persekutuan.
Menerusi hantaran itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan kepimpinan Jabatan Wilayah Persekutuan termasuk bekas Ketua Pengarah, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim serta Ketua Pengarah kini, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
-- BERNAMA